Wednesday, January 19, 2011

Pemancar laksana kerja amal






PETAI BUBUS ATAS – Penubuhan Kelab Radio Amatur dan Rekreasi (Pemancar) yang pada asalnya bertujuan membantu agensi penyelamat jika berlaku bencana, kini melebarkan sayap kepada kerja amal bagi memastikan golongan memerlukan diberi bantuan sewajarnya. Malah, kelab yang sering menjalin kerjasama dengan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) melancarkan program kemasyarakatan itu sering turun padang mengenal pasti sendiri golongan sasar yang perlu dibantu.
Menurut Presiden Pemancar Negeri Terengganu, Mohd Sobri Mat Ali, program amal yang dilaksanakan itu memberi fokus kepada keluarga yang kehilangan ketua keluarga dan mencari saluran terbaik membantu menambah pendapatan. “Kita lebih memberi fokus kepada usaha membantu membina kerjaya kepada golongan memerlukan sama ada bantuan bentuk peralatan dan sokongan modal bagi membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri. “Atas sebab itulah kita memilih untuk turun padang dan melihat sendiri penduduk yang dikenal pasti bagi melihat sendiri peluang dan kebolehan yang ada pada mereka, seterusnya bantuan disalurkan,” katanya kepada Sinar Harian. Menurutnya, pihaknya akan terus memainkan peranan lebih serius membantu masyarakat, selain mengumpul lebih ramai ahli untuk menggerakkan aktiviti lebih besar pada masa akan datang.
Sementara itu, dalam kunjungan Pemancar Zon Hulu Terengganu, YDSM dan Pegawai Agama Istana Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Mohd Shukri Ali di sini, turut membuat kunjungan ke rumah Fatimah Omar @ Mohamad, 36. Fatimah, ibu tunggal kepada enam anak kini mengambil upah sebagai tukang sapu di sebuah sekolah berdekatan rumahnya, setelah kehilangan suami kira-kira dua tahun lalu.

0 comments:

Template by - Abdul Munir | Daya Earth Blogger Template